





Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam, Rimba Gadong
Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kohort 33 telah dirasmikan oleh Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan selaku Tetamu Kehormat Majlis.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Yang Mulia Dr. Chin Wei Keh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Mulia Dayang Hajah Noridah binti Haji Abd Hamid, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dr. Norfarizal bin Othman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Yang Mulia Dr. Hajah Noor Maya binti Haji Md. Salleh, Pengarah Institut Perkhidmatan Awam (IPA).
Dalam ucapan alu-aluannya, Tetamu Kehormat menyarankan agar 25 orang peserta memanfaatkan sepenuhnya program ini untuk memperkukuh kemahiran kepimpinan serta membawa transformasi positif kepada organisasi masing-masing. Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama merentas agensi, inovasi serta kepimpinan berteraskan amanah dan integriti.
Pemilihan para peserta juga mencerminkan kepercayaan Kerajaan terhadap potensi mereka sebagai pelapis kepimpinan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan perkhidmatan awam serta mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.