Sign In
  

Istilah-istilah latihan di dalam pengiraan dasar minimum 100 jam latihan

Istilah-istilah latihan di dalam pengiraan dasar minimum 100 jam latihan dalam setahun.

Istilah-istilah ini dihasratkan untuk dijadikan panduan bagi mengenalpasti aktiviti-aktiviti yang termasuk di dalam pengiraan dasar minimum 100 jam latihan.
            
Semua tafsiran yang diberikan hanyalah untuk membantu setiap kementerian dan jabatan dalam mengenalpasti jenis-jenis latihan yang diperlukan oleh setiap pegawai dan kakitangan berpandukan Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bilangan: 3.2003. Jumlah peserta yang dinyatakan dalam tafsiran hanyalah sebagai garispandu bagi pemilihan peserta.

Ia mungkin berubah mengikut keperluan semasa bagi kementerian dan jabatan.
           
1. Tempoh Latihan Minimum Pegawai Dan Kakitangan Kerajaan


Menurut Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bilangan: 3/2003 Negara Brunei Darussalam, tempoh latihan yang dimaksudkan adalah tempoh latihan yang terancang bagi pegawai dan kakitangan kerajaan sama ada dalam Perkhidmatan Tetap, Sebulan Ke Sebulan ataupun dalam Open-Vote yang jumlahnya seboleh-bolehnya tidak kurang daripada 100 jam setahun.

2. Latihan 
Semua bentuk aktiviti dan program perkembangan latihan dan program perkembangan dan peningkatan (upgrading) sumber manusia sama ada dalam jabatan (inhouse), di agensi latihan atau pun luar negara.
           
3. Perhimpunan (Assembly) 
Latihan ini mengandungi jumlah peserta yang melebihi 100 orang dengan seorang atau lebih daripada seorang fasilitator (pemudahcara) atau penceramah bagi mengendalikan satu tajuk atau modul yang berkaitan dengan perkhidmatan awam atau fungsi agensi berkaitan.
      

4. Kolokium (Colloquium) 
Latihan ini melibatkan jumlah peserta yang sama seperti di para 3 (Perhimpunan) tetapi ia lebih menjurus kepada perbincangan akademik. 
           
5. Latihan Secara On Line (On Line Training)
Latihan ini memerlukan teknologi info komunikasi bagi membimbing mereka yang memerlukan latihan khusus dalam bidang-bidang tertentu seperti penulisan laporan, kumpulan kerja
cemerlang dan pengurusan asas dengan menggunakan teknologi maklumat dan computer secara "on-line". Latihan jenis ini tidak melibatkan perjumpaan bersemuka dengan fasilitator.
Jumlah peserta tertakluk kepada keter sediaan alat komputer peribadi dalam satu masa.
           

6. Bengkel
Secara lazimnya bengkel melibatkan lebih daripada 15 orang peserta di mana mereka akan diberikan ceramah dan latihan amal (praktikal). Latihan begini sekurang-kurangnya dilakukan dalam tempoh satu hari hingga lima hari.
          
7. Forum 
Di dalam jenis latihan ini, jumlah kehadiran peserta yang ramai diambil kira. Forum ini biasanya dipengerusikan oleh seorang yang mahir dalam bidang atau tajuk yang berkaitan.

Ahli-ahli forum juga dipilih dari mereka yang mahir di bidang masing-masing.
            

8. Kaunseling
Oleh kerana latihan ini memerlukan khidmat nasihat secara bersemuka, maka jumlah pesertanya perlu dihadkan kepada, paling maksimum, 10 orang. Kaunseling ini bukan bermakna peserta yang dipilih mempunyai masalah. Ia hanya sekadar untuk memberikan bimbingan kepada mereka yang kurang memahami isu atau perkara yang melibatkan kepentingan mereka atau jabatan.
            
9. Kovensyen
Konvensyen mempunyai persamaan dengan perhimpunan seperti di para 3 (Perhimpunan) tetapi ia lebih menumpukan kepada perbincangan untuk mencapai kesepakatan dalam menyelesaikan
masalah atau isu yang dihadapi oleh jabatan atau agensi.
           

10. Latihan Dalam Jabatan (In-House Training)

Jenis latihan ini tertumpu kepada peningkatan kemahiran, pengetahuan dan sikap peserta dalam melaksanakan tugas masing-masing. Biasanya ia dikendalikan oleh jabatan secara dalaman oleh seorang fasilitator sama ada secara ceramah, bengkel, kajian kes atau lain-lain metodologi latihan.
            

11. Muzakarah
Dalam menyelesaikan sesuatu isu yang berbangkit di dalam jabatan, muzakarah sangat diperlukan. Sesi ini dianggotai oleh setiap pegawai dan kakitangan yang akan berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalaman bagi mencari formula terbaik untuk dilaksanakan oleh jabatan. Biasanya jumlah anggota dalam sesi muzakarah tidak melebihi 30 orang dengan seorang pengerusi.
            

12. Mesyuarat
Secara umumnya, mesyuarat bertujuan untuk berkongsi maklumat dan mencari idea terbaik bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit di dalam jabatan. Jumlah anggota biasanya tertakluk kepada saiz bilik atau dewan. Mesyuarat mesti dikawal oleh seorang pengerusi bagi memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat.
            

13. Penempatan 
Untuk memberi pengalaman dan pengetahuan yang bersesuaian kepada pegawai dan kakitangan yang baru berkhidmat, penempatan sangat perlu sebagai pendedahan awal bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih cekap dan berkesan. Penempatan biasanya diberikan di luar jabatan, khususnya jabatan-jabatan yang ada hubungkait dengan fungsi jabatan berkenaan. Walau bagaimanapun, penempatan boleh juga di dalam jabatan.
         

14. Latihan Oleh Pembekal
Latihan begini dikendalikan oleh firma atau syarikat yang membekalkan produk-produk,mesin-mesin, jentera-jentera atau peralatan bagi kegunaan operasi harian jabatan.Mereka yang terlibat hanyalah mereka yang bertanggungjawab dalam mengendalikan dan memelihara peralatan berkenaan.
            
15. SIMPOSIUM
Latihan ini merupakan satu perkumpulan yang mengambil masa di antara satu hingga dua hari untuk memperolehi pengetahuan dengan mendengar dan seterusnya membincangkan sumbangan
dan buah fikiran dari pihak-pihak yang tertentu dalam bidang masing-masing. Sesi ini memerlukan juga seorang pemudahcara untuk memudahkan perbincangan.
      

16. Taklimat
Menghadiri sesi taklimat biasanya dilakukan secara ceramah untuk memberi maklumat atau pengetahuan. Penceramah -penceramahnya tidak terhad kepada seorang, sementara
pesertanya mungkin melebihi 50 orang.
        

17. Percambahan Fikiran
Teknik ini digunakan untuk melibatkan pekerja atau kakitangan dalam mencari penyelesaian masalah dengan menggiatkan idea-idea secara cepat. Sesi ini digerakkan oleh satu kumpulan kecil pekerja dari berbagai-bagai latar belakang tugas dan menyumbangkan apa sahaja pendapat atau cadangan yang terbit dari minda mereka sama ada munasabah atau sebaliknya.Semasa sesi ini segala bentuk kritikan tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun penyumbang idea dibenarkan untuk menjelaskan cadangan mereka.
            
18. Teleconferencing

Latihan begini khusus dikendalikan melalui interaksi dengan menggunakan kaedah video.Penceramah berada di satu tempat yang menyediakan kemudahan-kemudahan secara langsung
yang dihubungkan melalui media elektronik. Di samping itu peserta-peserta yang terlibat akan mendengar dan melibatkan diri secara langsung melalui monitor skrin yang dipasang di sebuah bilik khas.
         

19. Halaqah Fikir
Sesi latihan ini diasaskan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam (SAW) dalam menyelesaikan isu-isu dan masalah yang melibatkan kepentingan ummah dan negara.

Sesi ini mempunyai persamaan asas dengan sesi percambahan fikiran yang diperkenalkan oleh cendekiawan barat. Perbezaan ketaranya hanyalah dari segi penyampaian ilmu sebelum sesi halaqah fikir.
            
20. Seminar 

Sebuah kursus pendek atau persidangan yang menggunakan kaedah penyertaan secara menyeluru dan menumpukan kepada satu kajian secara eksklusif mengenai satu bidang. Jumlah peserta
tidak terhad.
            
21. Persidangan 

Latihan ini mengandungi jumlah peserta yang melebihi 100 orang dengan seorang atau lebih daripada seorang fasilitator (pemudahcara) bagi mengendalikan beberapa tajuk atau modul yang berkaitan dengan hal ehwal semasa yang mempunyai hubungan langsung dengan perkhidmatan awam atau fungsi agensi berkaitan.
            
22. Sesi 
Sesi bermakna satu tempoh dalam latihan di mana tempoh masanya ditentukan oleh beberapa faktor teknikal (sebagai contoh: jenis subjek, jenis peserta dan skop penyertaan aktif) dan faktor pentadbiran latihan ( seperti contoh: tempoh waktu bekerja, waktu rehat dan jamuan). Satu sesi berkemungkinan mengambil masa dari 30 hingga 90 minit.
            
23. Kuliah
Kuliah merupakan satu kaedah latihan pendek dimana fasilitator atau penceramah akan menyampaikan satu tajuk secara lisan dan pandangan. Biasanya kaedah latihan ini digabungkan dengan beberapa kaedah latihan lain yang meliputi satu aspek khusus mengenai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.
            

24. Latihan Semasa Bertugas (On The Job Training)

Latihan ini diberikan semasa melaksanakan tugas biasa. Ia boleh meliputi keseluruhan latihan atau digabungkan dengan latihan di luar tugas (Off the job training). Latihan ini tidak terhad tempoh waktunya. Kaedah-kaedah yang biasa digunakan ialah seperti bimbingan (coaching) dan kaunseling.
            
25. Latihan Di Luar Waktu Bertugas (Off The Job Training)
Latihan ini diberikan di luar daripada waktu bertugas biasa sama ada dalam bilik ceramah,lawatan sambil belajar, pembelajaran akademik dan seumpamanya. Dalam konteks ini latihan di luar waktu bertugas bermakna pegawai dan kakitangan berkenaan tidak berada di pejabat untuk menjalankan tugasnya. 
            
26. Bimbingan (Coaching)
Teknik latihan ini merupakan satu kaedah yang menumpukan kepada tugas dan peningkatan prestasi tugas. Ia adalah satu proses perhubungan di antara individu yang digunakan oleh pengurus untuk memberikan nasihat dan informasi atau untuk menetapkan satu set standard prestasi bagi kakitangan. Dalam proses ini pembimbing dan orang yang dibimbing berbincang mengenai prestasi kerja orang yang dibimbing dan menetapkan sasaran standard untuk dicapai. Pembinbing akan memberikan nasihat tentang bagaimana melaksanakan tugas dengan baik dan efisen.

27. Latihan Melalui Bantuan Komputer (Computer Aided Learning) 

Latihan ini melibatkan penggunaan komputer sebagai perantara pengajaran dan atau sebagai sumber pembelajaran dalam sistem latihan atau pendidikan. Kaedah ini menggunakan perisian komputer di dalam penyampaian bahan-bahan panduan latihan kepada peserta dengan berpandukan kepada maklum balas terhadap soalan-soalan terdahulu. 
           
28. Pembelajaran Jarak Jauh (Distance Learning) 

Pembelajaran jarak jauh merupakan sebarang bentuk pembelajaran di mana fasilitator dan peserta tidak berada di satu tempat yang sama. Ini meliputi pembelajaran secara persuratan, konsep universiti terbuka, secara video, radio, televisyen atau "on- line".
           
29. Modul
Modul merupakan satu unit kecil dalam sesi latihan. Ia biasanya dilakukan sebagai satu bahan sokongan dalam latihan keseluruhannya.

30. Pembelajaran
Satu proses dimana individu memperolehi pengetahuan, kemahiran dan sikap melalui pengelaman,renungan,kajian dan tunjuk ajar.
   

  
Yes, all IPA trainings is open for private sector to join at flat rate of BND$200.00




  

You may download in-house training request form via Download link or click here for the form and send in to:

 

Director
Institut Perkhidmatan Awam
Simpang 256-24
Jalan Kampong Rimba
Gadong BE3119
Negara Brunei Darussalam    

  

Any offer from IPA would be channeled to HR unit/section in respective department. If you are not nominated for any courses, please refer to your HR unit/section for clarification.

  

Please contact Corporate Affairs Division (cad@ipa.gov.bn) or  Dk Afzan Binti Pg Md Noor (afzan.noor@ipa.gov.bn)  . For details of facilities, please click Facility.

  

Yes, the library is open for members of the public, private or any individual. Whereas, borrowing is for Brunei Government civil servants only.



Question 
Answer